Tidak wajar cadangan usul MA63 baharu – Wan Junaidi

Spread the love

KUCHING, 9 Julai : Cadangan supaya mengusulkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) baharu adalah tidak wajar, kata Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, ini kerana perkara yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak sudah termaktub dalam ‘perjanjian asal’ MA63.

Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah mempelajari MA63 secara lebih mendalam.

“Sabah dan Sarawak tidak tuntut untuk runding semula perjanjian sedia ada tetapi menuntut perkara yang telah dipersetujui.

“Jika kita baca MA63 itu, kita boleh lihat janji-janji yang menarik Sarawak dan Sabah untuk bersama – sama tubuh Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada majlis simbolik penyerahan lembu korban Parlimen Santubong di sini, hari ini.

Wan Junaidi mengulas cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan baru – baru ini agar kepimpinan BN di Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu untuk merealisasikan tuntutan negeri seperti yang termaktub dalam MA63.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, antara isi kandungan MA63 adalah untuk ‘mempengaruhi’ Sarawak membentuk Persekutuan Malaysia pada masa itu adalah kerana pembangunan Semenanjung Malaysia lebih maju.

“Ini adalah harapan semua pemimpin kita pada masa itu supaya Sarawak turut menikmati pembangunan seperti di Semenanjung,” katanya.

Berkenaan ‘tuntutan’ Sarawak terhadap MA63, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, negeri ini telah mengorak langkah lebih awal untuk menuntut semula hak – haknya yang terhakis.

“Bermula langkah diambil oleh Tok Nan ( Allahyarham Pehin Sri Dr Adenan Satem), Sarawak berani menuntut haknya selaras dengan MA63.

“Sekarang Abang Johari (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) buat (tuntut hak), lebih strategik, sebab itu kenapa Sarawak lakukan sebaik mungkin,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.