Persiapan ibadah korban di Sarawak berjalan lancar

Spread the love

KUCHING, 9 Julai : Persediaan rapi bagi melaksanakan penyembelihan sempena Hari Raya Aidiladha esok adalah penting bagi memastikan proses berkenaan berjalan lancar.

Tinjauan TVS mendapati umat Islam di sekitar daerah ini yang ingin melakukan korban mengambil langkah yang lebih proaktif.

Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga Taman Lee Ling, Mohamed Sa’et Amran berkata, pengagihan dan penetapan tugas secara sistematik akan memudahkan proses penyembelihan.

“Peralatan untuk penyembelihan akan disediakan oleh kumpulan yang telah ditugaskan.

“Disebabkan kawasan Rukun Tetangga ini akan diadakan jamuan, oleh itu terdapat kumpulan yang akan menyediakan bahan masakan termasuk rempah dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.

Bagi Pengerusi Masjid Al-Abyad, Md Ahir Ahmad pula, aspek keselamatan dan kebersihan menjadi keutamaan pihaknya selain persiapan fizikal.

Katanya, masjid berkenaan memilih individu berpengalaman untuk menjalankan kerja – kerja penyembelihan.

“Tukang sembelih juga perlu mahir dengan tugas melapah dan perkara berkaitan. Bagi memastikan kelancaran program, kami akan memberi taklimat kepada mereka yang terlibat,”katanya.

Tambahnya, keputusan ahli jawatankuasa memasang pagar besi sebagai tempat penempatan sementara ternakan untuk ibadah korban adalah inisiatif yang sangat baik.

Ini kerana keselamatan ahli jawatankuasa dan pengunjung menjadi keutamaan sepanjang ibadah korban berlangsung.

Sementara itu, persiapan untuk melaksanakan ibadah korban di parlimen Santubong juga berjalan lancar.

Ahli Parlimennya, Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini hadir pada majlis penyerahan 72 ekor lembu.

Wan Junaidi berkata, beliau bersyukur kerana dapat menyempurnakan penyerahan lembu bagi membolehkan ibadah korban dapat dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada asnaf, pihak masjid, surau serta badan bukan kerajaan (NGO) di kawasannya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Yayasan Albukhary kerana menjayakan sumbangan ini sehingga pihak saya dapat menyediakan kira-kira 72 ekor lembu untuk ibadah korban esok,”katanya.

Katanya, sebanyak 66 ekor lembu diserahkan kepada Parlimen Santubong manakala enam lagi kepada beberapa kariah lain.

Berhubung haiwan ternakan yang akan dikorbankan sempena Aidiladha, Menteri Pertanian, Pemodenan Dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, ternakan di Sarawak adalah sihat dan bebas penyakit. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.