Momota kurang cergas, tersingkir awal daripada saingan Masters Malaysia

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 Julai : Sungguh mengecewakan buat pemain badminton nombor dua dunia, Kento Momota.  

Selepas muncul Naib Juara Terbuka Malaysia 2022 Ahad lepas, perjalanan Momota dalam Masters Malaysia 2022 menjadi singkat selepas tewas pada perlawanan pusingan kedua di Arena Axiata di sini, pada Khamis.

Sokongan bersemangat daripada peminat juga gagal membantu di gelanggang kerana beliau memang tidak berada dalam keadaan yang terbaik, ditundukkan rakan senegara, Kenta Tsuneyama 15-21, 16-21.

“Ia adalah satu perlawanan sukar menentang Tsuneyama, saya telah mencuba yang terbaik tetapi pada akhirnya saya tidak boleh mengakhirinya dengan baik,” kata beliau kepada wartawan selepas perlawanan.

Bintang Jepun itu yang ditewaskan oleh pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen dari Denmark dalam final Terbuka Malaysia 2022, 4-21, 7-21 berkata keletihan merupakan antara faktor utama beliau kurang menyerlah di Malaysia Masters 2022. 

Bahkan, Momota berkata bahawa beliau sudah kehilangan tenaga untuk bermain dalam kejohanan secara berturut-turut atau 10 perlawanan berturut-turut dalam tempoh yang singkat.

“Sebelum ini saya boleh bermain dua kejohanan berturut-turut dan memenanginya tetapi kini saya sudah tidak berdaya,” katanya. 

Bukan itu sahaja, pemain berusia 27 tahun itu masih tidak dapat meletakkan sasaran untuk Kejohanan Badminton Dunia 2022 yang akan berlangsung di negaranya dari 21 hingga 28 Ogos berikutan keadaannya sekarang.

Bagaimanapun, juara dunia dua kali itu berharap untuk mendapatkan rehat dan mencari jalan meningkatkan stamina menjelang Kejohanan Badminton Dunia, bulan depan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.