Lelaki ‘bom’ ikan ditahan Polis Marin

Spread the love

SEMPORNA, 8 Julai : Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak di perairan Sangaban, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah,Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, suspek yang merupakan rakyat tempatan berusia 49 tahun ditahan oleh sepasukan anggota daripada Unit Risikan, Pasukan Polis Marin (PPM) yang melaksanakan Op Gelora di kawasan berkenaan.

Katanya, pasukan telah mengesan sebuah bot berwarna biru yang tidak mempunyai nombor pendaftaran berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 5 petang.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, pasukan polis menemui peralatan mengebom ikan iaitu dua batang detonator, tiga batang fius, benang, 16 potongan getah selipar dan mancis,”katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, polis turut menemui dua kilogram (kg) ikan pelbagai jenis yang dipercayai ditangkap dengan menggunakan bahan letupan.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.