Lawatan Premier Sarawak ke Singapura kaji konsep landskap bandar, pengurusan air

Spread the love

SINGAPURA, 8 Julai : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan delegasinya dibawa melawat ke Taman Bishan-Ang Mo Kio di republik ini, hari ini, sempena lawatan sambil belajar selama lima hari bermula 9 Julai.

Delegasi berkenaan diberi penerangan mengenai kepentingan menggabungkan pembangunan taman dan landskap bandar dengan pengurusan air serta langkah mengatasi banjir dalam usaha mewujudkan sekitaran yang dapat menjadi benteng banjir bagi kawasan pekan dan bandar, menurut kenyataan dikeluarkan pejabat Premier Sarawak.

Lawatan selama sejam di kawasan taman seluas 62 hektar itu dianjurkan pihak pengurusan Taman Negara Singapura.

Delegasi itu turut mendengar taklimat daripada perunding taman berkenaan yang berpangkalan di Denmark mengenai rekaan dan konsep taman serta kejayaannya menjadi benteng banjir selain membentangkan kejayaan projek lain mereka di seluruh dunia, menurut Pejabat itu.

Pejabat Premier Sarawak turut menyatakan, taklimat berkenaan turut menyentuh mengenai  pembangunan semula kawasan Bukit Assek seluas 200 hektar di Sibu serta konsep hampir sama sambil menegaskan pembangunan seumpama turut membantu membangunkan komuniti berhampiran projek.

Mengiringi Premier Timbalan Premier, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Mee Ting dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Turut sama pasukan dari Sibu yang diketuai Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu ,Clarence Ting Ing Horh.

Abang Johari juga turut menghadiri taklimat mengenai pelan induk pembangunan terminal industri di Sarawak oleh syarikat jururunding perancangan bandar dan infrastruktur milik kerajaan Singapura.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri II Sumber Asli dan Pembangunan Bandar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.