Jabatan Muzium sasar sejuta pengunjung, raih RM900 ribu tahun ini – Nancy

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 Julai : Jabatan Muzium menyasarkan satu juta pengunjung akan melawat 22 muzium di bawah pengendaliannya sepanjang tahun ini dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM900,000.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata walaupun sektor permuziuman berdepan dengan cabaran dan merekodkan penurunan jumlah pengunjung dan pendapatan melebihi 70 peratus pada 2020 dan 2021, beliau yakin sasaran itu dapat dicapai pada tahun ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa penganjuran pameran seumpama ini, dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan potensi muzium sebagai satu daripada penyumbang utama kepada usaha penjanaan semula ekonomi negara.

“Inisiatif ini juga akan memberi lebih banyak pilihan dengan pelbagai variasi produk-produk pelancongan negara,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil di Muzium Tekstil Negara di sini semalam.

Beliau turut berkata kementeriannya pada tahun ini memberi keutamaan kepada pelaksanaan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) sebagai usaha membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Nancy berkata pelaksanaan kedua-dua dasar itu juga memastikan semua pihak dalam rantaian industri pelancongan, seni dan budaya dapat menambah nilai kemahiran serta bakat sedia ada.

“Hasil daripada kerancakan aktiviti pelancongan dan kebudayaan ini nanti, membolehkan para penggiat industri menjadikan kemahiran sedia ada sebagai mata pencarian mahupun pendapatan tambahan.

“Mereka juga akan melatih pula anak-anak muda atau mereka yang mempunyai minat terhadap bidang pelancongan. Putaran impak inilah yang ingin kita lihat, agar limpahan ekonomi yang terhasil daripada aliran ini, dapat memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Mengenai Pameran Motif dan Reka Corak Tekstil hari ini, beliau berkata pameran itu menampilkan 91 koleksi variasi unsur motif unggul seni tekstil Melayu yang diperagakan JMM dan juga 65 koleksi hasil karya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan.

Katanya, motif reka corak yang dipamerkan dalam pameran yang berlangsung mulai hari ini hingga 31 Dis di Muzium Tekstil Negara itu melambangkan keistimewaan dan keindahan budaya Melayu yang memainkan peranan penting dalam mencerminkan identiti bangsa.

“Motif juga memainkan peranan penting dalam mencerminkan lambang dan identiti sesebuah bangsa, yang mana dapat membezakan hasil seni kraf tekstil negara kita, dengan negara jiran serumpun seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Justeru, penganjuran pameran seumpama ini diharapkan dapat membuka minda masyarakat terutamanya generasi belia untuk mengenali dan memahami kepelbagaian, simbolik dan falsafah pada motif-motif tradisional dalam dunia seni tekstil tempatan yang kita warisi,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.