Dua ‘projek sakit’ di Mambong dikenal pasti

Spread the love

KUCHING, 8 Julai: Terdapat dua ‘projek sakit’ di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong.

Menurut ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil, dua projek di Kampung Sapit iaitu pembinaan Chapel St. Christopher dan projek menaik taraf jalan kampung telah dikenal pasti sebagai antara projek sakit di bawah projek transformasi luar bandar bagi kawasan DUN Mambong.

Jerip berkata, antara punca utama projek tersebut dikategorikan sebagai “Sakit”  adalah disebabkan kesukaran untuk membawa bahan binaan ke lokasi pembinaan akibat laluan di Sapit yang mencabar.

“Salah satu projek sakit adalah di Sapit yang berpunca dari kesukaran pihak kontraktor untuk membawa bahan binaan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual selepas Majlis Penutupan Program Keusahawanan (MINTRED) & Majlis Penyerahan Cek MRP dan MyKhas bagi DUN N.19 Mambong.

Beliau menambah, kos tinggi bagi pembelian bahan binaan turut menjadi punca antara projek sakit tersebut lambat disiapkan.

Dalam usaha mencari solusi bagi mengatasi masalah tersebut, satu perbincangan yang melibatkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) bakal diadakan, kata nya kepada pemberita.

“Kami akan menggunakan kontraktor yang sama dan membuat kajian semula projek berkenaan, sama ada untuk mengubahnya atau mencari alternatif dengan jumlah yang sama, apa yang boleh dilakukan untuk menyiapkan projek tersebut,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Jerip turut menyatakan rata-rata projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di DUN Mambong sudah hampir siap kira-kira 70 peratus setakat ini. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.