COVID: Kes varian Omicron sublineage BA.5 sudah berada di Malaysia, mungkin merebak luas – Khairy

Spread the love

KUALA LUMPUR, 8 Julai : Kes varian Omicron sublineage BA.5 sudah berada di Malaysia dan berkemungkinan merebak luas, sekali gus mengakibatkan peningkatan kes COVID-19, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sehingga 30 Jun lepas, 13 kes sublineage Omicron dipantau rapi, iaitu enam kes BA.2.12.1; lima kes BA.5; serta dua kes BA.5.2, dan semua kes ini didapati positif antara bulan Mei dan Jun lepas.

“Tiada kes sublineage Omicron BA.4 yang direkodkan setakat ini. Kalau lihat dari segi epidemiologi di negara-negara lain, BA.5 adalah sublineage utama yang memberi kesan kepada peningkatan kes di peringkat global dan kita menjangkakan BA.5 akan terus meningkatkan lagi jumlah kes harian di Malaysia.

“Omicron BA.5 adalah versi virus COVID-19 yang paling mudah merebak setakat ini (berbanding varian Omicron sebelumnya iaitu BA.1 dan BA.2) tetapi ia juga mempunyai ciri untuk menjangkiti mereka yang sudah dijangkiti dengan Omicron BA.1 dan BA.2,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata situasi ini juga mengakibatkan peningkatan kemasukan ke hospital di negara-negara seperti Singapura, Portugal, United Kingdom dan lain-lain.

Khairy bagaimanapun berkata maklumat dari Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan individu yang telah melengkapkan vaksinasi dos primer dan menerima dua dos penggalak, terutamanya dalam kumpulan umur 60 dan ke atas, mempunyai kadar kematian yang lebih rendah berbanding mereka yang hanya mempunyai satu dos penggalak.

Mengenai jangkaan tempoh puncak Omicron BA.5, beliau berkata KKM menjangkakan kes akan meningkat dalam tempoh satu atau dua bulan atau maksimum tiga bulan berdasarkan pengalaman menghadapi gelombang varian Omicron sebelum ini.

Ditanya mengenai keterukan varian Omicron sublineage BA.5 dan BA.4 berbanding BA.1 dan BA.2, Khairy berkata buat masa ini, KKM tidak melihat sebarang perubahan keterukan kes bagi sublineage BA.5 dan BA.4.

“Saya dimaklumkan oleh pakar penyakit berjangkit, kemungkinan besar keterukan kes BA.5 ini tidak lebih teruk daripada gelombang Omicron yang asal. Kita jangka keterukannya lebih kurang sama dengan varian Omicron yang awal,” katanya.

Beliau berkata jumlah harian baharu yang dilaporkan bagi lima hari pertama Minggu Epid ke-27 (3 hingga 7 Julai) mencatatkan peningkatan sebanyak 31 peratus iaitu 11,394 kes kepada 14,967 kes berbanding jumlah kes yang dilaporkan untuk tempoh yang sama pada Minggu Epid ke-26 (26 Jun hingga 30 Jun) lepas.

Sementara itu Khairy berkata tiga strategi utama digariskan buat masa ini bagi mengharungi gelombang baharu COVID-19 iaitu vaksinasi dalam kalangan penduduk, rawatan COVID-19 bagi individu berisiko tinggi menggunakan ubat antiviral dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau sekali lagi menasihatkan individu yang masih belum menerima dos penggalak dan mereka yang layak menerima dos penggalak kedua, untuk segera mendapatkannya.

Menurut beliau sehingga semalam 16,152,022 (68.60 peratus) individu telah menerima dos penggalak pertama vaksin COVID-19 manakala jumlah individu yang layak menerima dos penggalak pertama mengikut kriteria yang ditetapkan KKM adalah 23,545,221.

“Ini menjadikan jumlah yang belum lagi mengambil dos penggalak pertama seramai 7,393,199 (31.40 peratus),” katanya menambah seramai 2,339,792 individu yang layak belum lagi mengambil suntikan dos penggalak kedua. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.