Berang dibuang kerja, lelaki tembak kenderaan ‘bos’

Spread the love

MARUDI, 8 Julai : Akibat tidak berpuas hati isu gaji serta dibuang kerja, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila menembak kenderaan milik majikannya di Long Bedian, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd. Ruslan Kib berkata, dalam kejadian di sebuah kem pembalakan itu, suspek dipercayai menggunakan selaras senapang patah.

Katanya, suspek yang berusia 40 tahun itu dipercayai melepaskan satu das tembakan dengan terdapat sembilan kesan di bahagian pintu kanan kenderaan itu.

“Suspek berjaya ditahan di sebuah rumah di Long Belok pada pukul 5 petang semalam selepas mangsa membuat laporan.

“Berdasarkan soal siasat, lelaki itu mengaku bertindak demikian dengan niat hendak mengertak majikannya,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Katanya, polis kini masih mengesan senjata yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.

Mohd Ruslan memberitahu, lelaki itu kini ditahan lokap di Balai Polis Marudi sementara menunggu perintah reman daripada mahkamah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah menggunakan senjata api,” tambah beliau.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.