Syukuri rahmat Aidiladha fasa endemik – Mufti Sarawak

Spread the love

SARIKEI, 7 Julai : Fasa endemik merupakan rahmat buat seluruh masyarakat Islam di negara ini apabila berpeluang meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassan berkata, perayaan yang bakal disambut tiga hari lagi itu perlu disyukuri oleh setiap muslim.

“Ketika berada pada fasa pandemik sebelum ini, kita tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dan terasa kehilangan namun Alhamdulillah, pada tahun ini, kembali seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah pada majlis anjuran Jawatankuasa Pengurusan Nur Permai di sini.

Sehubungan itu beliau mengajak umat Islam menghayati falsafah pengorbanan dalam konteks lebih besar dan seterusnya diterjemahkan dalam menjalani kehidupan seharian.

“Apa yang penting ialah kita dapat menyemai semangat kasih sayang di antara satu sama lain.

“Melalui haiwan yang dikorbankan itu, kita dapat mengagihkannya kepada mereka yang layak menerimanya sekali gus mengeratkan hubungan sesama insan,” ujarnya.

Beliau juga berharap Aidiladha kali ini memberikan manfaat yang lebih besar terutamanya dalam aspek memelihara hubungan silaturahim seperti yang dianjurkan oleh Islam.

“Yang pentingnya teruskan berdoa dan bermunajat kepada kepada Allah SWT supaya kita dibebaskan daripada cengkaman apa saja bentuk virus terutamanya COVID-19.

“Mudah-mudahan kita hidup dalam keadaan sihat walafiat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa dengan penuh ketenangan,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.