Sindiket edar dadah guna bas dari Kota Kinabalu ke Tawau tumpas

Spread the love

TAWAU, 7 Julai : Taktik sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan bas dan kurier berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menerusi Operasi Khas Narkotik Joint Task Force Sempadan Laut Malaysia-Indonesia.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Julaiman Soimin berkata, sebanyak enam kes yang menggunakan dua modus operandi berkenaan dalam tempoh sebulan bermula pada 8 Jun sehingga 7 Julai 2022 telah dipatahkan pihaknya.

Menurutnya, kawasan operasi itu membabitkan di sempadan laut Malaysia – Indonesia khususnya di Tawau dan pintu masuk udara dan darat.

“Sepanjang tempoh operasi berkenaan, JKDM Sabah merampas dadah disyaki jenis Methamphetamine seberat 10.69 kilogram (kg), Ketamin (7 kg) dan daun ketum seberat (315 kg) yang bernilai RM755,028.

“Kesemua kes ini yang melibatkan bas yang datang daripada Kota Kinabalu ke Tawau dan Keningau yang menggunakan modus operandi yang sama,”katanya pada sidang media di sini hari ini.

JKDM Zon Sabah katanya, sentiasa komited dalam menangani sebarang aktiviti melibatkan penyeludupan dadah.

Jelasnya, sejak awal Januari sehingga kini, JKDM Zon Sabah telah berjaya merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 55.334 kg, Ketamine (10 kg), dan serbuk ketum (552.49 kg) bernilai lebih RM2.54 juta.

Kesemua kes katanya disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 Akta Racun 1952.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.