Penemuan empat anak Harimau Malaya bersama ibunya di habitat liar beri harapan baharu

Spread the love

KUCHING, 7 Julai: Empat anak Harimau Malaya bersama ibunya ditemui awal tahun ini, menurut kenyataan Tabung Hidupan Liar (WWF).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, WWF Malaysia berkata ia adalah penemuan yang sangat ditunggu-tunggu khususnya menjelang sambutan Hari Harimau Global bulan ini.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sophia Lim berkata terdapat kurang daripada 150 populasi Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia, justeru perkembangan terbaharu ini memberikan sinar harapan spesies terancam ini dapat diselamatkan daripada kepupusan.

“Sangat penting untuk kita meneruskan rondaan, untuk melindungi anak-anak ini dan ibu mereka daripada ancaman pemburuan haram dan kehilangan habitat yang sedia ada,” tambah Lim.

Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC), Shah Redza Hussein yang turut mengulas isu ini berkata harimau akan dapat hidup sempurna di alam liar dengan adanya habitat yang sesuai dan dengan makanan yang mencukupi untuk hidup.

“Kami memerlukan usaha anti-pemburuan haram yang berterusan dan lebih berkesan untuk memastikan anak-anak harimau ini selamat daripada pemburu haram dan boleh bertahan sehingga dewasa,” katanya.

Dalam usaha untuk mencapai matlamat itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) telah bekerjasama dengan pasukan anti-pemburuan haram WWF-Malaysia dan Unit Peronda Orang Asli Menraq PSPC untuk membuat rondaan di Taman Negeri Royal Belum.

Taman ini meliputi kawasan seluas 117,500 hektar.

Usaha kolaboratif ini diharapkan akan dapat menjamin kelangsungan hidup spesies terancam tersebut dengan makanan dan keselamatan yang mencukupi di habitat nya.

WWF juga memuji usaha-usaha rondaan yang dilakukan dengan rondaan berkala telah terbukti berkesan kerana ia mengurangkan kegiatan pemburuan haram sehingga hampir 98%.

Usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan melaksanakan undang-undang yang lebih ketat bagi jenayah keatas hidupan liar dengan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2020 (Akta 716) yang membawa hukuman denda maksimum kepada RM1 juta daripada RM500,000 bagi pesalah.

Dua lagi kejayaan penting dalam membanteras insiden pemburuan haram ialah penubuhan Pasukan Petugas Harimau Kebangsaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, dan penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.