Kesungguhan Sarawak perkasa golongan wanita dipuji

Spread the love

KUCHING, 7 Julai : Inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memperkasa golongan wanita menerusi pelbagai program yang dirancang mendapat pujian Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW).

Presiden ACWW, Magdie De Kock berkata, ini kerana program yang diatur selari dengan seruan masyarakat dunia dalam membantu wanita meningkatkan taraf hidup mereka.

“Saya tersentuh kerana banyak aspek wanita diusahakan di sini yang mana ianya bukan sahaja pendekatan malah ia turut dilaksanakan dengan tujuan untuk meningkatkan taraf kehidupan wanita secara amnya.

“Ini membuatkan saya sangat gembira dan amat kagum melihat kesungguhan yang ditunjukkan,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah di Wisma Wanita di Kuching,hari ini.

Sempena kunjungan berkenaan, Magdie turut menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Pusat Kemahiran Jahitan Komuniti Kuching dan kelas latihan spa dan kecantikan yang dibuka di wisma berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai pembukaan kelas berkenaan, Fatimah berkata, ia bertepatan dengan tujuan Wisma Wanita ditubuhkan untuk melengkapkan golongan wanita dengan kemahiran yang boleh dimanfaatkan bagi menjana pendapatan.

Ujar Fatimah, kementeriannya sentiasa mencari ruang untuk membantu golongan wanita di negeri ini untuk melihat nasib golongan tersebut terbela dan terjaga.

“Di sini kita mempunyai tempat latihan untuk membina kapasiti wanita kita dengan tujuan memperkasakan wanita kita supaya mereka mempunyai kemahiran iaitu kemahiran yang betul berdasarkan minat mereka.

“Melalui kemahiran itu, mereka boleh menjana pendapatan dan mampu membawa pendapatan tambahan kepada keluarga dan secara tidak langsung meningkatkan taraf sosial ekonomi wanita,”ujarnya.

Lawatan tersebut turut disertai delegasi dari Sabah, Pulau Pinang serta luar negara antaranya Brunei dan Filipina.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.