Industri sarang burung walet diperluas kepada golongan B40

Spread the love

TELUPID, 7 Julai : Industri sarang burung walet berpotensi tinggi sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negara berdasarkan nilai eksport 5,905 tan metrik dengan nilai RM1.8 bilion pada tahun 2021.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, nilai itu mencatatkan kenaikan lebih RM400 juta berbanding nilai eksport RM1.385 bilion pada tahun 2020.

Katanya, perkembangan positif itu sekaligus menunjukkan industri sarang burung walet boleh diperluaskan dengan melibatkan komuniti B40 secara aktif.

“Sehubungan itu, MAFI bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyokong kerjasama strategik bersama pemain industri untuk membangunkan industri sarang burung walet di kawasan luar bandar sekaligus membangunkan ekonomi golongan B40.

“Kerjasama ini termasuk membuat pemantauan dan menentukan peserta mematuhi piawaian dengan cara berkesan agar kualiti dan pemprosesan sarang burung boleh dieksport ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Rumah Burung Walet Komuniti B40 di Kampung Lumou, Telupid.

Untuk rekod, sebanyak 13,635 premis rumah burung walet telah berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar setakat tahun 2021 dengan 25 peratus ataupun 3,413 premis daripadanya adalah di Sabah.

Program Rumah Burung Walet Komuniti B40 itu merupakan projek perintis Beho Birdnest Sdn Bhd sebagai syarikat peneraju bagi membantu meningkatkan pendapatan golongan B40 di Sabah.

Sebagai permulaan, seramai 20 peserta telah dipilih untuk menyertai program itu dengan setiap empat peserta disenaraikan untuk sebuah rumah burung. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.