ESSCOM rekod prestasi cemerlang

Spread the love

LAHAD DATU, 7 Julai : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merekodkan nilai rampasan hampir RM18.3 juta sehingga 20 Jun tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri ll, Datuk Jonathan Yassin.

Nilai rampasan itu katanya, hasil dari 730,898 pemeriksaan yang dilakukan terhadap individu, kenderaan dan bot melalui operasi darat dan laut yang dikoordinasikan oleh ESSCOM.

“Kejayaan rekod ini turut disumbangkan menerusi koordinasi operasi udara ESSCOM membabitkan 377 rondaan penerbangan pesawat milik agensi-agensi keselamatan,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan ESSCOM 2021 di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, ESSCOM menunjukkan prestasi cemerlang berikutan tiada insiden pencerobohan keselamatan besar yang menggugat ketenteraman direkodkan oleh ESSCOM sejak Februari 2020 sehingga kini.

Menurutnya, keselamatan dan kesejahteraan awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) kekal stabil di bawah kawalan dan pemantauan ESSCOM.

“Saya berharap rekod ini dikekalkan selaras dengan pembukaan sempadan negara dan kemasukan ramai pelancong ke pantai timur Sabah,” katanya.

ESSCOM jelasnya, sentiasa siap siaga mengekang sebarang ancaman pencerobohan militan dan anasir luar melalui pelaksanaan operasi darat, laut dan udara secara bersepadu dengan pasukan keselamatan serta perkongsian maklumat risikan dengan pihak berkuasa Filipina.

“Saya amat yakin melalui inisiatif kawalan keselamatan yang diterajui ESSCOM, keamanan dan keselamatan di ESSZone akan kekal terjamin,” katanya lagi.

Dalam masa sama beliau turut menyeru semua pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan dengan melaporkan sebarang aktiviti yang mengancam keselamatan kepada pihak berkuasa. – TVS

Tags: esscom

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.