Persatuan Bola Sepak Sierra Leone siasat keputusan bola sepak 91-1 dan 95 -0

Spread the love

KUCHING, 6 Julai : Persatuan Bola Sepak Sierra Leone (SLFA) sedang menyiasat ‘keputusan pelik’ membabitkan jaringan 91-1 dan 95 -0 dalam dua perlawanan bola sepak liga divisyen satu negara itu baru – baru ini.

Siasatan itu melibatkan pegawai dan pemain yang terlibat dalam perlawanan Gulf FC yang menewaskan Koquima Lebanon dengan 91 -1 dan Lembenbu United yang tewas 0 – 95 kepada Kahula Rangers.

Kemenangan yang diraih Gulf FC dan Kahulu Rangers itu menjadikan ianya sebagai ‘kemenangan terbesar’ dalam sejarah bola sepak di negara Afrika berkenaan.

Siasatan itu untuk ‘merungkai’ keputusan tidak terjangka itu yang berlaku pada separuh masa kedua.

Ketika tamat 45 minit, skor yang dicatatkan bagi kedua – dua perlawanan itu ialah 2 – 0 dan 7-1 sekaligus menyebabkan SLFA mengesyaki terdapat unsur memanipulasi keputusan perlawanan.

SLFA berkata, ia mempunyai toleransi sifar terhadap pihak yang mengatur keputusan.

“Perkara ini akan disiasat secara menyeluruh dan sesiapa yang didapati bersalah akan berdepan tindakan undang-undang,” kata SLFA dalam satu kenyataan.

Sebelum perlawanan, Kahula dan Gulf FC mempunyai jumlah mata yang sama dan sedang merebut slot dalam Liga Super 10 kebangsaan.

Kedua-dua perlawanan itu berlangsung serentak dengan pengadil perlawanan Gulf FC ‘enggan’ memulakan perlawanan separuh masa kedua sekaligus menyebabkan dia diganti.

Keadaan berubah secara dramatik pada separuh masa kedua dan sekiranya keputusan itu disahkan, skor itu akan menjadi antara yang tertinggi dalam sejarah bola sepak.

‘Rekod’ kemenangan terbesar sebelum ini dicatatkan di Madagascar pada 2002 apabila AS Adema menewaskan SO l’Emyrne 149-0.

Dalam perlawanan itu, pemain SO l’Emyrne sengaja menjaringkan satu demi satu gol sendiri sebagai protes terhadap keputusan pengadil. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.