Perlupusan Al-Quran cipta sejarah baharu di Tanjung Jerijeh

Spread the love

SARIKEI, 6 Julai: Perairan Tanjung Jerijeh menyaksikan acara penuh bersejarah apabila buat pertama kalinya abu Al -Quran seberat 1,807 kilogram dilupuskan di kawasan itu, semalam.

Majlis pertama seumpamanya itu disempurnakan Pejabat Jabatan Agama Islam Sarikei dengan kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISri).

Program berskala besar itu merupakan salah satu kaedah bagi memelihara kesucian Al-Quran berlandaskan syarak.

Menurut Pengerusi LAKISri, Datu Len Talif Salleh, lembaga itu bertuah berpeluang menyempurnakan acara penuh bermakna tersebut sambil menyifatkannya sebagai satu usaha murni dalam memuliakan kitab suci al-Quran.

“Program selaras dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke – 30.

“Al-Quran yang rosak, koyak, yang tidak lagi boleh dibaca dan yang bukan resam Uthmani hendaklah dilupuskan. Kaedah pelupusan ialah dibakar di tempat yang dikawal dan ditanam ditempat yang dikawal manakala pelupusan perlu dipertanggungjawabkan kepada urusetia atau majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri – Negeri,” katanya.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar itu menjelaskan, abu Al-Quran yang dilupuskan itu adalah bahan-bahan dikumpul daripada Pusat Pemuliaan Al-Quran Al Mutaqqin dan Masjid As Syakirin Bintulu.

Sehubungan itu katanya, pusat pemuliaan Al-Quran LAKISri yang wujud sejak 2021 merupakan satu-satunya di zon tengah Sarawak.

“Kita mendapat permintaan yang tinggi daripada pelbagai pihak yang ingin menghantar bahan atau teks yang mengandungi Al -Quran bagi tujuan pemuliaan.

“Ini menunjukkkan kesedaran tinggi dalam kalangan masyarakat Islam terhadap tanggungjawab mereka memulihara kesucian Al-Quran,” katanya.

Hadir sama, Mufti Sarawak Datuk Kipli Yassin.

Untuk rekod, program pelupusan pertama diadakan pada 14 mei 2017 manakala, kedua pula 8 februari 2018.

Sehubungan itu, Pusat Pemuliaan Al –Quran Darul Naim yang terletak di ibu pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kuching merupakan yang pertama bagi zon selatan dan kedua di Sarawak, dijangka siap dalam masa terdekat. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.