Penganjuran sukan bantu sumbang kepada pembangunan industri pelancongan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 6 JULAI: Penganjuran acara sukan antarabangsa mampu merangsang dan memacu pembangunan ekonomi serta sosial dan komuniti.

Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sukan telah lama diakui sebagai satu bentuk produk pelancongan.

Menurut Abdul Karim, setiap kali kejohanan antarabangsa diadakan ia membantu membangunkan industri pelancongan di Sarawak.

Menyedari potensi dan peluang yang dicipta menerusi acara sukan, beliau berkata kementeriannya akan sentiasa mendukung penuh mana-mana persatuan sukan yang ingin menganjurkan acara sukan antarabangsa di negeri ini.

“Ini kerana apabila mereka pergi ke negara lain untuk acara sukan, mereka berkemungkinan akan membelanjakan wang.

“Mereka memerlukan penginapan dan pengangkutan yang membawa hasil kepada perniagaan tempatan, dan makanan yang menjadi hasil kepada restoran atau kedai makanan tempatan,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Dalam pada itu Abdul Karim turut memberi pujian terhadap usaha kelab Renang Power Aquatics (PASC) kerana menganjurkan ‘2nd Sarawak Short Course Sprint 2022’ yang akan menyaksikan kehadiran ramai peserta dari Brunei, Indonesia, Thailand, Semenanjung Malaysia dan Sabah ke negeri.

Kira-kira 500 perenang dijangka mengambil bahagian dalam acara yang akan diadakan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada 13 dan 14 Ogos 2022.

Acara itu akan dianjurkan oleh PASC dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), dan disokong oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.

Abdul Karim juga berkata acara sukan bukan sahaja boleh menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sukan dan industri pelancongan, malah acara sukan antarabangsa juga akan membantu mempromosikan suasana muhibah di kalangan peminat-peminat sukan dari pelbagai negara dan kawasan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.