Pelan induk terusan air ala Amsterdam di Sibu bakal dimuktamad

Spread the love

SIBU, 6 Julai : Pelan induk konsep sistem terusan air seperti di Amsterdam, Belanda untuk daerah Sibu dijangka akan dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah banjir di bandar ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata pelan berkenaan yang masih lagi dalam peringkat perancangan bakal diumumkan perlaksanaannya oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Menurut YAB Premier Sarawak, pelan pembangunan semula ini akan dibahagikan kepada beberapa fasa. Ia adalah sebuah projek yang besar untuk Kerajaan Sarawak dan akan melibatkan perbelanjaan yang besar.

Sekarang kami masih lagi menunggu pengumuman berapa jumlah peruntukan yang akan ditetapkan oleh kerajaan Sarawak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya lagi, sudah tentu sekiranya melihat kepada impak jangka panjang projek pembangunan semula ini di masa akan datang, Bukit Assek khasnya dijangka boleh menjadi satu lokasi pelancongan.

“Dengan pelan pembangunan semula yang ada, ini bermakna negeri akan memerlukan lebih ramai mereka yang berkemahiran tinggi untuk kembali begitu juga dengan para jurutera, buruh kasar dan ramai lagi untuk balik dan menyumbang kembali kepada tempat asal mereka.

Jadi dengan pelan ini dan dengan kerancakan pembangunan bandar Sibu nanti, saya harap ia dapat membawa semula penduduk tempatan kita yang berkhidmat di luar sana untuk kembali,” ujarnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.