Kes HIV di Kuching tertinggi di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 6 Julai : Bahagian Kuching direkodkan menjadi penyumbang tertinggi kepada statistik kes HIV di Sarawak sejak 2015 hingga 26 Mac tahun ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, berdasarkan data oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Kuching merekodkan sebanyak 29. 4 peratus kes keseluruhan atau 800 jangkitan.

Katanya, empat bahagian lagi turut mencatatkan angka tinggi iaitu Miri (488 kes), Sibu (454), Bintulu (366) dan Samarahan sebanyak 143 kes atau 5.3 peratus.

“Bagi kes AIDS pula, Sibu mencatatkan kes tertinggi sebanyak 243 kes dan diikuti Miri sebanyak 235 kes,” katanya menerusi teks ucapan.

Teks berkenaan dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Dato Sri Fatimah Abdullah sempena Majlis Perasmian Sunway dan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) di Teratak Kasih Tok Nan hari ini.

Berkenaan kes jangkitan membabitkan jantina pula, sebanyak 87.6 peratus kes keseluruhan HIV dihidapi oleh lelaki manakala 12.4 peratus merupakan wanita.

“Bagi kes AIDS, sebanyak 925 kes atau 84.6 peratus dilaporkan di kalangan lelaki manakala selebihnya perempuan,” katanya.

Sehubungan itu, penyakit kelamin berjangkit ini menjadi fokus penting Kerajaan Sarawak dengan menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada kementerian yang diterajui oleh Fatimah.

Sementara itu Fatimah berkata, isu penyakit berkenaan merupakan antara 14 isu yang diberi tumpuan menerusi Majlis Pembangunan Sosial (MPS) di bawah kementeriannya.

“Isu Penyakit Jangkitan Kelamin merupakan salah satu komponen dalam Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) dan slot bagi komponen berkenaan dikendalikan oleh Seksyen Kawalan Penyakit AIDS, STI, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

“Setakat 2020, sebanyak 13 siri telah dilaksanakan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.