Jenazah tiga mangsa banjir di Baling selamat dikebumikan

Spread the love

BALING, 6 Julai: Jenazah tiga mangsa banjir bersama janin berusia empat bulan yang terkorban dalam bencana itu yang berlaku di daerah ini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Charuk Bemban Dalam di sini kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Jenazah ibu yang hamil empat bulan, Nurul Anis Abu Hassan, 23, bersama janinnya serta ibu mentuanya yang lumpuh Salmah Mat Akib, 53, dan adik iparnya Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, tiba di pekarangan Surau Al-Istiqamah, Kampung Charuk Bemban Dalam pada 4.25 pagi.

Baca > > > Banjir di Baling: Mayat dua sekeluarga ditemukan berpelukan

Jenazah janin itu didukung bapanya Muhammad Khairul Asyraf Nor Azman, 24, sebelum dibawa masuk ke dalam surau untuk disolatkan.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi upacara pengebumian apabila kira-kira 200 orang yang hadir kelihatan sebak sewaktu diberikan peluang terakhir untuk menatap wajah jenazah sebelum dikebumikan.

Bernama sebelum ini melaporkan tiga maut termasuk ibu hamil empat bulan selepas rumah mereka dihanyutkan air dalam tragedi banjir dan kepala air di Kampung Iboi dekat sini Isnin lepas.

Baca > > > Banjir di Baling: Tiga sekeluarga termasuk wanita hamil dikhuatiri hilang

Mayat Nurul Anis dan ibu mentuanya yang lumpuh itu ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan pokok kira-kira 100 meter dari tapak rumah mereka yang dihanyutkan itu kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

Mangsa ketiga, Khairul Ikhwan pula ditemukan pada 11.55 pagi di bawah timbunan pokok yang tidak jauh daripada mayat ibu dan kakak iparnya dijumpai. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.