Jenazah bayi dan ibu maut dikelar selamat disemadikan

Spread the love

JOHOR BAHRU, 6 Julai: Suasana pilu menyelubungi pengebumian bayi tiga bulan dan ibunya yang maut dikelar  dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, disini pada Isnin.

Jenazah Hajar Nursyahirin Rosman, 26 dan anak lelakinya Hans Mohd Thakif Amir dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu dalam satu liang lahad pada kira-kira 8.10 malam tadi.

Bapa mangsa Rosman Ahmad, 58 berkata mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak ketiga dan cucunya dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu dibedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah, disini sebelum disembahyangkan di Masjid Kampung Bakar Batu.

Dalam kejadian jam 12 tengahari hari Isnin, seorang wanita dan bayi ditemui berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher di luar sebuah rumah di Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu.

Susulan itu polis berjaya menahan suspek ketika menunggang motosikal dalam keadaan bogel beberapa jam selepas kejadian.

Polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dipercayai digunakan sebagai senjata mengelar mangsa.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga  Isnin . – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.