‘Geng Wan Kurus’ aktif curi kenderaan di Padawan dan Kuching tumpas

Spread the love

KUCHING, 6 Julai : Sindiket curi kenderaan dikenali sebagai ‘Geng Wan Kurus’ berjaya ditumpaskan oleh Pasukan Khas Lejang yang ditubuhkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, dalam serbuan pada 27 Jun lepas, lima lelaki warganegara tempatan dalam lingkungan umur 36 hingga 40 tahun berjaya ditahan pihaknya.

Katanya, sebanyak sebanyak tujuh buah motosikal dan tiga buah kereta turut dirampas.

“Hasil tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian motosikal dan tiga kecurian kereta yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan ini yang mula aktif sejak November tahun lepas,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut Mohd. Azman, kumpulan itu turut ‘merekrut’ sembilan warga asing sebagai anggotanya yang berjaya ditahan polis.

“Modus operandi sindiket ini mencuri kenderaan di sekitar Kuching dan kawasan perumahan di Padawan,” katanya.

Katanya, sindiket ini mensasarkan motosikal jenama Yamaha dan kereta jenis Proton Wira yang mempunyai permintaan tinggi di negara jiran.

“Sindiket ini menggunakan alat pemutar skru yang telah diubahsuai berbentuk T dan satu kunci utama serta beberapa alat perkakas yang lain untuk mencuri kenderaan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM150,000 berdasarkan laporan yang dibuat oleh kesemua mangsa.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.