Delegasi Sarawak berada di Singapura bagi lawatan kaji dana kekayaan

Spread the love

SINGAPURA, 6 Julai : Delegasi tertinggi daripada kerajaan Sarawak diketuai Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertemu dengan para pegawai Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIS) di ibu pejabatnya yang terletak di Capital Tower di sini, pada Rabu.

Menurut kenyataan Pejabat Premier Sarawak, lawatan itu merupakan sebahagian daripada proses penandaarasan yang akan membawa kepada penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat oleh Sarawak seperti diumumkan oleh Premier sebelum ini.

Baca > > > Premier Sarawak adakan lawatan lima hari ke Singapura hingga 9 Julai

Semasa lawatan itu, anggota delegasi diberikan taklimat mengenai operasi, struktur tadbir urus, strategi pelaburan dan kerangka dasar cabang pelaburan kerajaan Singapura itu.

Premier diiringi oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selain Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pada Mei lepas, Abang Johari berkata ordinan untuk menubuhkan dan mentadbir dana kekayaan berdaulat di Sarawak yang dicadangkan itu akan dibentangkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November ini dan dijangka mula beroperasi pada 2024, menurut kenyataan itu.

Premier juga telah melakukan lawatan yang serupa ke Norway pada Mei untuk mengkaji operasi dan tadbir urus dana kekayaan negara Norway sebagai antara model pilihan untuk mengurus dan melabur lebihan dana Sarawak, tambahnya.

Menurut kenyataan itu, GIC, satu daripada tiga entiti pelaburan di Singapura yang menguruskan rizab kerajaan, ditubuhkan pada 2001 bagi menguruskan rizab Singapura untuk pulangan jangka panjang sebagai dana kekayaan berdaulat bukan berasaskan komoditi pertama di dunia.

Entiti lain ialah Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Temasek, jelasnya.

Kini, GIC mempunyai aset di lebih 40 negara dan pejabat di 10 bandar kewangan utama, dengan lebih 1,800 kakitangan di seluruh dunia dan Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC) dianggarkan berjumlah SGD21.56 bilion pada tahun kewangan 2022.

Terdahulu, Kementerian Luar (MFA) republik ini menjelaskan semasa lawatan lima hari itu, Abang Johari akan melakukan kunjungan ke atas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong; Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Lawrence Wong; serta Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean.

Beliau juga akan bertemu dengan beberapa menteri lain termasuk Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Grace Fu; Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee; serta Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.