Banjir di Kedah, penduduk Pulau Pinang panik beli air mineral

Spread the love

GEORGE TOWN, 6 Julai : Penduduk dan pengguna air domestik di negeri ini gempar apabila bekalan air bersih di beberapa kawasan terputus dan mengalami tekanan rendah hari ini susulan kejadian banjir di Baling, Kedah kelmarin.

Ia berikutan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang memperoleh sumber air dari Sungai Muda terpaksa dihentikan selama empat jam kerana mengalami kekeruhan air yang tinggi akibat kejadian tersebut.

Situasi itu turut menyebabkan kesemua pasar raya, kedai serbaneka dan kedai runcit di negeri ini diserbu orang ramai bagi membuat pembelian panik air mineral sebagai stok bekalan air.

Tinjauan TVS di beberapa pasar raya mendapati rak penjualan air mineral kosong selepas diserbu orang ramai.

Menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan, pihaknya menjangkakan tekanan bekalan air di semua saluran paip di seluruh negeri akan dipulihkan pada pukul 12 tengah hari esok.

“Kekeruhan air mentah dari Sungai Muda ke loji itu pada pukul 6 pagi (hari ini) adalah direkodkan luar biasa tinggi iaitu 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU) berbanding kekeruhan normal 1,000 NTU.

“Sebagai langkah pemulihan, PBAPP segera mengurangkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan air mentah di Empangan Mengkuang (di Bukit Mertajam),” kata kenyataan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang kelmarin, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban, lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara serta tujuh rumah musnah dan kira-kira 70 rumah rosak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.