Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Persidangan ACWW

Spread the love

KUCHING, 5 Julai: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Persidangan ke-13 Persatuan Wanita Desa Sedunia (ACWW) bagi kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh, di sini hari ini.

Persidangan tiga hari yang bermula dari 4 hingga 6 Julai itu bertujuan membina rangkaian kerja serta kolaborasi dalam kalangan wanita di dalam dan luar negara, di samping mempelajari serta berkongsi pengetahuan, menerusi sidang pleno serta lawatan pendidikan.

Bertemakan “Kepelbagaian Kekuatan Kami”, persidangan tersebut menghimpunkan 202 ahli perwakilan wanita daripada persatuan yang berdaftar dengan ACWW Malaysia termasuk perwakilan dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Filipina dan Singapura.

Turut hadir ialah Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menyanjung tinggi bakat serta sumbangan dan penglibatan golongan wanita terutama NGO-NGO dalam pembangunan khususnya di Sarawak.

“Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita sangat berbakat dan tangkas dalam membantu mencapai matlamat pembangunan Sarawak.

“Mereka dapat menyantuni golongan rentan dan golongan terjejas dalam komuniti dan mencari penyelesaian inovatif untuk menangani masalah tersebut,” ujar Abang Johari ketika berucap dalam majlis perasmian tersebut.

Sementara itu, presiden ACWW bagi kawasan Asia Tenggara dan Timur Jauh, Norjanah Razali berkata antara lain, persidangan ini bertujuan membina rangkaian kerja serta pertukaran idea dengan wanita dari dalam dan luar negara.

“Persidangan ini membuktikan bahawa golongan wanita, tanpa mengira lokaliti atau negara boleh membantu antara satu sama lain dalam bidang pendidikan, alam sekitar, teknologi, kemajuan masyarakat dan kepimpinan,” katanya.

Persidangan tiga hari itu turut dihadiri penaung Institut Wanita Persekutuan Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’Ani Tun Tuanku Bujang dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah. -TVS

Tags: Wanita

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.