Lukisan mural ‘Coolie’ cara orang Sibu pelihara sejarah

Spread the love

SIBU, 5 Julai : Lazimnya sejarah dibukukan dan disimpan untuk tujuan penceritaan semula kepada generasi yang baharu sebagai langkah masyarakat memelihara identiti yang sudah lama dikuburkan.

Menariknya di Sibu, lukisan Buruh Wharf ataupun ‘Coolie’ yang terletak di Jalan Khoo Peng Loong menjadi cara tersendiri masyarakat daerah ini memperingati sejarah-sejarah lama.

Penduduk di daerah Sibu amat peka dengan sejarah yang tersirat di sebalik mural berkenaan yang menceritakan mengenai kesibukan kawasan terminal yang memaparkan para pekerja buruh ataupun ‘kuli’ memunggah barang dagangan ke dalam bot ekspress.

Daerah Sibu amat terkenal dengan lukisan mural di bangunan-bangunan lama. Foto: Jeeridyne Chan & Odleen Catherny

Tinjauan TVS mendapati rata-rata mereka yang ditemui berbangga dengan kewujudan mural-mural itu yang tidak sama sekali diganggu kegiatan vandalisma sejak dilukis pada tahun 2018.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng yang juga merupakan anak kelahiran Sibu memberitahu mural tersebut sudah menjadi sebahagian daripada identiti Sibu.

“Pada sekitar tahun 1950 an dan 1960 an, kuli-kuli inilah yang selalu memeriahkan kawasan ini yang mana setiap pagi mereka akan menikmati sarapan secara beramai-ramai dan kemudiannya mula bekerja memunggah barangan untuk disimpan ke dalam gudang.

Dalam tinjauan TVS, rata-rata mereka yang ditemui berbangga dengan keberadaan mural itu yang tidak sama sekali diganggu vandalisme sejak dilukis pada tahun 2018. Foto: Jeeridyne Chan & Odleen Catherny

Jadi, pada zaman awal Sibu, kawasan ini begitu makmur. Terdapat banyak kereta, lori membawa muatan barangan. Namun ini bukan sahaja di Sibu, tetapi di semua zon tengah Sarawak,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu bagi Chew Poh Chang, 82, yang merupakan bekas jurutera awam Jabatan Kerja Raya (JKR), memori melihat para kuli berkhidmat pada suatu ketika dahulu masih segar di ingatannya.

“Dahulu saya pernah ditempatkan di JKR Sibu dan saya pernah memantau kerja-kerja pembinaan di sini. Setiap hari saya akan melihat kesibukan mereka (kuli) memunggah barangan seperti gula, beras dan macam-macam lagi,” ujarnya.

Untuk rekod, daerah Sibu amat terkenal dengan lukisan mural di bangunan-bangunan lama.

Sekurangnya-kurangnya terdapat 14 mural unik yang terdapat di bandar ini yang sudah semestinya menjadi daya tarikan terutamanya bagi mereka yang baru pertama kali melawat bandar angsa putih itu. – TVS

Tags: mural, sibu

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.