Lelaki maut, pacuan empat roda terbalik

Spread the love

BATU NIAH, 5 Julai: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 8, berhampiran Simpang Ngu, Jalan Batu Niah sekitar jam 8.30 malam tadi.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Jerry Ismail Abdullah, 25.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi II, Rary Binjie berkata, sejurus menerima panggilan pada jam 8.44 malam, pihaknya mengerahkan sepasukan lapan anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya kami di lokasi pada jam 8.53 malam, didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai telah hilang kawalan dan berada dalam keadaan terbalik di tengah jalan” katanya ketila dihubungi TVS hari ini.

Katanya, “size up” atau hasil pemeriksaan awal yang dijalankan mendapati mangsa masih tersepit di tempat duduk dan tidak sedarkan diri.

Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

Mnurut Rary, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, hasil siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan berlaku ketika Toyota Hilux yang dipandu mangsa seorang diri sedang bergerak dari Simpang Ngu ke pekan Batu Niah.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (aPJ) 1987. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.