Kerajaan peruntuk bantuan awal RM500,000 kepada mangsa banjir di Baling – PM

Spread the love

KUALA LUMPUR, 5 Julai : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan awal kepada mangsa banjir di Baling, Kedah dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Beliau berkata bantuan awal kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) itu meliputi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000; bantuan barang keperluan asas sebanyak RM2,500; bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 dan pembaikan rumah.

“Saya yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Turki atas jemputan TYT Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Turkiye, telah menerima berita duka mengenai banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sungai Tiak di Baling, Kedah pada petang semalam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Ismail Sabri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyelaraskan bantuan segera kepada semua 1,490 mangsa banjir yang melibatkan 112 KIR itu.

Perdana Menteri berkata Setiausaha Politik beliau iaitu Datuk Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyampaikan BWI kepada semua KIR hari ini termasuk waris tiga mangsa yang maut sebanyak RM10,000 seorang.

Ismail Sabri berkata beliau juga telah mengarahkan semua agensi kerajaan terlibat agar mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa tragedi itu mempunyai tempat berteduh yang selesa selepas ini.

Beliau berkata kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah itu mengalami kerosakan dan sebanyak 25 kediaman musnah sepenuhnya.

Perdana Menteri berkata bantuan lain akan segera menyusul termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek tebatan banjir yang kritikal.

Katanya Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan sewajarnya bagi tragedi itu.

“Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini akan diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.