Enam maut dalam tragedi tembakan pada sambutan Hari Kemerdekaan AS

Spread the love

KUCHING, 5 Julai : Enam terkorban manakala berpuluh lagi cedera ketika Sambutan Hari Kemerdekaan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) yang bertukar menjadi tragedi dalam kejadian tembakan rambang pada Isnin.

Serangan itu berlaku di Highland Park, kira-kira 40 kilometer dari Chicago sekitar 10 pagi waktu tempatan.

CNN melaporkan seorang suspek telah direman oleh pihak polis yang dipercayai melepaskan tembakan ke atas pengunjung sambutan hari kebangsaan itu dari bumbung sebuah bangunan.

Suspek yang berjaya ditahan dikenal pasti sebagai Robert E. Crimo III, seorang lelaki berkulit putih berumur 22 tahun.

Ketua Polis Highland Park, Chris O’Neill berkata, polis menemui senjata api di bumbung sebuah bangunan di Highland Park.

Jurucakap Pasukan Petugas Jenayah Utama Lake County, Christopher Covelli berkata, lelaki itu mengakses bumbung bangunan dengan memanjat tangga yang dipasang pada dinding bangunan tersebut.

Katanya, senjata api yang digunakan adalah “senapang berkuasa tinggi” dan serangan itu kelihatan seperti serangan yang dirancang.

Covelli memberitahu bahawa anggota SWAT dan pegawai lain telah memindahkan orang ramai dari bangunan yang berdekatan ketika kejadian. 

Koroner Lake County Jennifer Banek berkata, lima maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Reuters melaporkan antara mangsa yang maut di tempat kejadian adalah seorang guru di Highland Park, Jacki Sundheim dan seorang warga emas, Nicolas Toledo yang datang dari Mexico untuk melawat keluarganya.

Pengarah perubatan Sistem Kesihatan NorthShore University, Dr. Brigham Temple memberitahu, sebanyak 26 pesakit telah dimasukkan ke Hospital Highland Park.

Menurut Temple, mereka yang cedera berumur antara 8 hingga 85 tahun, dan empat atau lima daripada jumlah itu terdiri daripada kanak-kanak.

Beliau berkata 19 daripada 25 mangsa tembakan telah dirawat dan telah dibenarkan pulang. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.