Raja Permaisuri Agong zahir minat terhadap pakaian kesenian Sarawak

Spread the love

KUCHING, 4 Julai : Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menzahirkan minat baginda terhadap pakaian kesenian Sarawak.

Baginda berkenan mencemar duli ke Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) bagi mengunjungi galeri kesenian dan makmal songket keringkam di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong telah diberikan penerangan mengenai sulaman keringkam oleh pelajar CENTEXS dan baginda juga berkenan untuk merasai sendiri pengalaman menyulam tudung keringkam.

Antara yang turut diperlihatkan kepada baginda ialah reka bentuk pakaian warisan bersifat couture (coutoure d’heritage) dan tenunan songket Sarawak.

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar menunjukkan minat yang mendalam tentang pakaian kesenian Sarawak.

Baginda turut dipersembahkan dengan pameran seni kulinari dan produk keusahawanan berasaskan makanan Sarawak.

Antaranya ialah madu kelulut, sambal dabai, linut segera dan serunding halia.

Hadir mengiringi ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Persekutuan-Negeri), Datuk Sharifah Hasidah Ahmad Ghazali dan Pengarah CENTEXS, Datu Dr. Sabariah Putit.

Raja Permaisuri Agong tiba untuk lawatan rasmi ke Sarawak bermula Isnin. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.