MEF buka pejabat baharu di Sarawak

Spread the love

KUALA LUMPUR, 4 Julai : Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) membuka pejabat baharu di Sarawak bagi mengembangkan perkhidmatan perundingan perhubungan industri profesional (IR) dan sumber manusia (HR) kepada majikan di negeri itu.

Naib Presiden Anne Kung berkata pembukaan pejabat baharu itu menandakan komitmen persekutuan itu untuk terus mengukuhkan kehadiran dalam kalangan komuniti majikan di Sarawak, mengiktiraf potensi negeri itu dari segi menarik pelaburan bernilai tinggi bagi pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

Dalam satu kenyataan hari ini, katanya walaupun MEF telah membuka pejabatnya di Kuching pada 2007, syarikat yang berpangkalan di Sarawak mewakili kurang daripada tiga peratus daripada jumlah keahlian MEF.

“Oleh itu bagi MEF, Sarawak adalah pasaran besar yang belum diterokai dan kami juga sedang melihat dengan teliti di Miri dan Bintulu untuk kemungkinan pengembangan aktiviti kami pada masa hadapan,” katanya.

Kung menyatakan bahawa Sarawak mempunyai potensi untuk pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi dengan kekayaan sumber semula jadi dan sumber manusianya.

“Infrastruktur digital Sarawak yang bertambah baik menjangkau jauh ke kawasan luar bandar, bekalan tenaga boleh diperbaharui yang mencukupi dan pembinaan sambungan baharu seperti Lebuhraya Pan Borneo, membolehkan Sarawak meletakkan dirinya sebagai destinasi menarik untuk pelaburan bernilai tinggi.

“Pemindahan ibu kota pentadbiran Indonesia ke Nusantara di Provinsi Kalimantan Timur di Borneo juga boleh mewujudkan kesan limpahan positif bagi Sarawak dalam jangka panjang,” katanya.

Kung menambah bahawa prospek keseluruhan yang positif untuk Sarawak akan menjana permintaan yang lebih besar daripada majikan yang mencari perkhidmatan perundingan IR dan HR profesional yang disediakan oleh pasukan pakar dalaman MEF.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.