Lombong kripto di Bintulu diserbu polis

Spread the love

KUCHING, 4 Julai : Seorang pengendali perlombongan mata wang kripto di Bintulu ditahan kerana didapati mencuri elektrik dalam sebuah operasi bersama antara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan pihak polis.

Menurut kenyataan SEB semalam, serbuan itu dibuat berikutan pengesanan pengunaan elektrik yang tinggi di kawasan perindustrian Nyabau, sekali gus menimbulkan syak wasangka tentang kemungkinan aktiviti perlombongan mata wang kripto berlaku di kawasan itu.

“Setelah memeriksa tapak tersebut, pasukan SEB dan polis menemui 55 server perlombongan mata wang kripto yang masih beroperasi,” jelas kenyataan itu.

SEB memberitahu, walaupun terdapat meter elektrik yang dipasang, server tersebut disambungkan terus ke pendawaian sesalur utama, menyebabkan  meter itu tidak dapat mengesan dan merekodkan jumlah tenaga elektrik sebenar yang digunakan.

Menurut kenyataan itu lagi, bacaan muatan elektrik di tapak mendedahkan bahawa jumlah sebenar elektrik yang digunakan sepatutnya berjumlah RM9,600 sebulan, bukannya RM250 sebulan seperti yang direkodkan meter.

Selain itu, semua kabel, server perlombongan mata wang kripto dan peranti elektronik lain telah dirampas sebagai bahan bukti kes .

Pihak SEB berkata laporan polis telah dibuat dan semua pihak yang terlibat akan dipanggil untuk membantu siasatan.

SEB menggalakkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti mencurigakan berkaitan kecurian kuasa dan mengenai penyedia perkhidmatan yang mendakwa dapat mengurangkan penggunaan elektrik untuk melaporkan kepada SEB dengan menghubungi pusat penjagaan pelanggan Sarawak Energy di 1300-88-3111 atau e-mel di [email protected] – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.