SARS kapal karam hari kedua diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa yang belum ditemui

Spread the love

KUCHING, 3 Julai : Operasi mencari dan menyelamat (SARS) kapal karam hari kedua diteruskan hari ini bagi mengesan seorang lagi mangsa yang belum ditemui.

Pengarah Maritim Zon Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad menerusi kenyataan media beliau berkata, setakat ini tinjauan melalui udara dan juga aset laut tidak menemukan sebarang tumpahan minyak mahupun peralatan kapal terapung di lokasi kejadian.

Pencarian melalui udara juga sedang giat dilakukan pada hari ini yang mana melibatkan helikopter MI171 berkeluasan pencarian 183.60 batu nautika persegi oleh Unit Udara Bomba.

“Keluasan pencarian di sekitar perairan Samalaju hari ini juga merangkumi seluas 336.19 batu nautika persegi yang melibatkan aset Maritim Malaysia iaitu KM SETIA,”

Katanya lagi, aset-aset bot serta pelantar pihak Petronas dan Shell Bintulu turut dimaklumkan berkenaan operasi SARS tersebut.

Keadaan cuaca hari ini kata nya sedikit berangin dengan angin berkelajuan 10 hingga 20kmsj dan laut berombak setinggi 0.5 hingga 1.5 meter.

“Dalam kejadian itu, tiga orang kru berjaya diselamatkan manakala seorang kru warga India dikenali sebagai Himanshu Kumar masih hilang,” tambah beliau.

Difahamkan kapal tangki itu sedang bersauh di perairan Samalaju namun dilanda ribut dengan ketinggian ombak sehingga lima meter menyebabkan ianya dimasuki air dan tenggelam dalam masa hanya dua jam.

Mohd. Khairol Anuar memberitahu, pakaian terakhir mangsa ialah baju hitam putih, seluar panjang dan memakai jaket keselamatan.

Maritim Malaysia juga sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan sebarang kecemasan di laut boleh dilaporkan secara terus di talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Bintulu di talian 086-314254 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082–432544/ 082-432016 yang beroperasi 24 jam.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.