Purata 10 suspek ditangkap setiap hari di Kuching – polis

Spread the love

KUCHING, 3 Julai : Seramai 1,745 suspek telah ditangkap dengan pelbagai kesalahan jenayah, narkotik dan komersil di Kuching bagi tempoh separuh tahun pertama 2022.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, tangkapan tersebut terdiri daripada 1,483 lelaki dan 211 wanita serta 51 merupakan pesalah juvana. 

“Secara purata 10 suspek berjaya ditangkap setiap hari tempoh kajian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, dari jumlah tangkapan tersebut, seramai 1,693 merupakan warga tempatan manakala 52 terdiri daripada warga asing.

Ahsmon juga memberitahu bahawa IPD Kuching berjaya mendakwa seramai 1,298 suspek di mahkamah dan berjaya memburu dan menangkap 68 orang individu yang dikehendaki.

Katanya lagi, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching juga berjaya mencapai kadar pertuduhan 42 peratus dan kadar penyelesaian kes 56 peratus. 

Selain itu, beliau berkata pengukuran nilai ambang mencatatkan penurunan jenayah sebanyak 46 peratus, manakala kes indeks dan non-indeks mencatatkan penurunan sebanyak 44 peratus. 

“Bagi cawangan narkotik, IPD Kuching berjaya mencapai kadar pertuduhan kes sebanyak 90.61 peratus manakala kadar penyelesaian kes adalah 69.70 peratus.

“Bagi bahagian trafik, kadar pertuduhan adalah sebanyak 90 peratus dan kadar penyelesaian kes adalah 96.42 peratus, manakala bahagian komersil mencatatkan kadar pertuduhan kes sebanyak 36.22 peratus, dan kadar penyelesaian kes sebanyak 8.67 peratus,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.