Kapal tangki karam dilanda ombak, seorang krew hilang

Spread the love

BINTULU, 3 Julai : Seorang krew sebuah kapal tangki warga India dilaporkan hilang selepas kapal itu karam akibat dimasuki air berpunca ombak besar di perairan Samalaju, Bintulu pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd. Khairol Anuar Saad berkata, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) menerima laporan pada pukul 10.53 pagi mengenai kapal Banga 2 serta empat orang kru itu.

Katanya, MRSC Kuching telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 11.15 pagi untuk mengesan seorang mangsa dipercayai hilang pada jarak lebih kurang 40.2 batu nautika dari Barat Laut Bintulu.

“Dalam kejadian itu, tiga orang kru berjaya diselamatkan manakala seorang kru warga India dikenali sebagai Himanshu Kumar masih hilang,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Difahamkan kapal tangki itu sedang bersauh di perairan Samalaju namun dilanda ribut dengan ketinggian ombak sehingga lima meter menyebabkan dimasuki air dan tenggelam dalam masa dua jam.

Mohd. Khairol Anuar memberitahu, pakaian terakhir mangsa ialah baju hitam putih, seluar panjang dan memakai jaket keselamatan.

Sesi pencarian diteruskan oleh kapal KM SETIA yang beroperasi di perairan Bintulu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.