Diperdaya sindiket ‘Macau Scam’, pesara guru rugi hampir RM200 ribu

Spread the love

BINTULU, 3 Julai : Seorang pesara guru di Bintulu mengalami kerugian RM199,000 selepas diperdaya sindiket ‘Macau Scam’.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit berkata pengalaman pahit wanita berusia 63 tahun itu bermula pada 30 Jun lalu apabila dia menerima panggilan kononnya daripada sebuah syarikat kurier di Kuala Lumpur memaklumkan bahawa bungkusan yang ditujukan untuknya telah tersalah hantar ke syarikat sebuah syarikat kurier di Pahang.

Katanya, pemanggil itu memberitahunya bahawa bungkusan yang mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan kad kredit di atas nama pengadu telah ditahan polis Sabah.

Baca lagi > > > Polis tidak guna panggilan telefon untuk dapat maklumat – Acryl Sani

“Talian itu kemudiannya dipindahkan kepada pegawai polis di Ibu-pejabat Polis Daerah Sabah yang memintanya menyelesaikan perkara itu. Dia diberitahu untuk membuat rayuan kerana namanya telah disenaraihitamkan dan didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dan diarah untuk membuka akaun bank di Kota Kinabalu,”

Ujarnya, mangsa diberitahu untuk membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang simpanannya ke akaun baharu untuk tujuan siasatan.

“Mangsa seterusnya telah mendaftarkan nombor telefon bimbit suspek untuk perbankan dalam talian yang baharu dibuka itu dan turut memberikan butiran kad ATM serta no CVV kepada suspek,” jelasnya.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menghubungi pihak banknya dam dimaklumkan sejumlah RM199,000 daripada akaunnya telah dipindahkan ke dua akaun suspek dari 1 hingga 2 Julai lalu.

Mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis mengenai kes itu pada Sabtu.

Batholomew menasihatkan orang ramai supaya tidak panik sekiranya menerima panggilan sedemikian daripada orang yang tidak dikenali yang mendakwa mereka dari jabatan kerajaan, bank, syarikat insurans, syarikat kurier dan sebagainya.

“Tamatkan panggilan segara dan jangan buat sebarang panggilan ke mana-mana nombor yang diberikan oleh suspek. Jangan juga berikan butiran akaun kepada suspek,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menyemak nombor telefon suspek di Check Scammer CCID atau di http://semakmule.rmp.gov.my.

Sebagai alternatif, mereka boleh menghubungi CCID Scam Response Center di 03-26101559 dan 03-26101599 untuk mendapatkan nasihat mengenai penipuan dalam talian.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.