Asri mahu pemain Melaka United teruskan aksi cemerlang

Spread the love

MELAKA, 3 Julai: Pemangku ketua jurulatih Melaka United Mohd Asri Ninggal mahu pasukannya terus mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan seterusnya selepas berjaya mengikat pendahulu Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1 di Stadium Hang Jebat, Krubong malam tadi.

Beliau berkata pujian harus diberikan kepada pemain yang bekerja keras dan berdisiplin sepanjang perlawanan untuk menghalang pasukan lawan yang mempunyai kelebihan dibarisi pemain import dan kebangsaan berpengalaman.

“Ia bukan perkara mudah kerana di atas kertas kita tahu penguasaan bola JDT sangat bagus dan jika diberi ruang, mereka akan menghukum lawan, namun pemain kita berjaya menyelesaikan tugasan dengan baik.

“Kita berharap keputusan ini akan menjadi perangsang kepada pemain ketika bertemu Selangor FC Selasa ini dan menerapkan persembahan serta semangat yang sama kerana lawan itu juga satu pasukan yang kuat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.

Terdahulu, pada perlawanan disaksikan lebih 17,000 penonton itu, pasukan Harimau Selatan dilihat lebih mendominasi dan mendahului permainan pada minit ke-27 menerusi Leandro Velazquez yang mudah menolak masuk bola ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol Melaka United Bryan See.

Tidak berputus asa, skuad Sang Kancil mula mencari peluang bagi menyamakan kedudukan dan strategi digunakan berhasil selepas Justin Baas menyempurnakan umpanan Sony Norde pada minit ke-39 dan keputusan seri 1-1 kekal sehingga tamat masa perlawanan.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata biarpun ketiadaan dua pemain import Ifedayo Olusegun dan Emmanuel Oti yang mengalami kecederaan hamstring pemain gantian diturunkan menunjukkan permainan yang bagus.

“Kita melihat mungkin ini hikmahnya kerana kita tidak boleh hanya bergantung kepada pemain tertentu dan tidak kira sesiapa pun yang diturunkan dalam perlawanan, mereka telah menggalas tugas yang diberi dengan sangat baik.

“Mungkin kita akan kehilangan khidmat dua pemain itu dalam beberapa lagi perlawanan dan hanya akan kembali kepada pasukan selepas aksi bertemu Petaling Jaya FC, namun ia juga bergantung kepada tahap kecergasan mereka,” katanya.

Sementara itu, pengendali JDT Benjamin Mora berkata walaupun hanya pulang dengan satu mata dan tidak seperti tiga mata yang diharapkan, pasukannya bermain dengan baik.

Di sebalik hanya mengutip satu mata JDT masih terus unggul di takhta Liga Super dengan mengumpul 23 mata daripada sembilan perlawanan manakala Melaka di tangga kesembilan dengan sembilan mata. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.