Akaun instagram digodam, lelaki kerugian RM1,000

Spread the love

SIBU, 3 Julai : Seorang lelaki kerugian RM1,000 selepas diperdayakan oleh seorang suspek yang menyamar sebagai rakan pengadu melalui applikasi Instagram.

Kejadian itu dilaporkan pada Sabtu (1 Julai), setelah pengadu dimaklumkan rakan sebenar mengenai akaun Instagram miliknya dipercayai telah digodam beberapa hari yang lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Zuhaili berkata pihaknya dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Sibu telah menerima satu laporan daripada mangsa yang merupakan penyelia keselamatan sekolah berhubung kes itu semalam.

Katanya, suspek telah menghantar mesej untuk meminjam wang daripada pengadu melalui applikasi Instagram pada 24 Jun lalu.

Jelasnya, pengadu yang mempercayai mesej itu adalah daripada rakannya telah membuat pemindahan wang melalui perbankan internet ke satu akaun atas nama individu lain berjumlah RM1,000 pada hari yang sama.

“Pengadu hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas dihubungi dan dimaklumkan oleh rakan sebenar bahawa akaun Instagram miliknya telah digodam beberapa hari kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, rakan pengadu juga tidak pernah meminjam wang daripada pengadu.

Sehubungan itu, Zulkipli menasihatkan pengguna akaun instagram agar sentiasa ‘log keluar’ setiap kali selepas melayari applikasi itu.

“Melalui amalan tersebut tahap keselamatan akaun instagram dapat dipertingkatkan sekaligus menggelakkan penjenayah untuk mengaktifkan akaun anda melalui peranti lain,” tegasnya

Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya kepada mesej pinjaman wang yang diterima dari kenalan terutamanya apabila akaun bank yang digunakan adalah milik orang lain.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.