TFC II lonjak ke tangga teratas Liga Perdana, tewaskan Kuching City FC

Spread the love

KUALA TERENGGANU, 2 Julai : Terengganu FC ll (TFC ll) melonjak ke tangga teratas Liga Premier selepas menewaskan Kuching City FC dalam aksi tunggal di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam tadi.

Babak pertama menyaksikan pasukan tuan rumah terlebih dahulu melakukan percubaan seawal minit ketiga menerusi pemain tengah Muhammad Syaiful Haqim Shahrul yang merembat deras dari dalam petak penalti namun sayangnya percubaan itu berjaya ditampan penjaga gol Shaiful Wazizi Mohammad.

Berselang empat minit, giliran kem pelawat pula menguji kubu pertahanan tuan rumah menerusi percubaan Mohamad Alif Hasan, malangnya rembatan deras beliau sekadar menggegar palang.

Pada minit ke-18, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim yang mendominasi permainan sekali lagi beroleh peluang untuk mengatasi skuad Penyu namun rembatan kapten pasukan Joseph Kalang Tie pula tersasar ke sebelah kanan gawang.

Tidak berputus asa, TFC ll yang terus mengatur gerak akhirnya beroleh peluang keemasan pada minit terakhir babak pertama tetapi gagal mencipta jaringan apabila rembatan Muhammad Nur Afzar Fikri Azhar sedikit tinggi melepasi palang.

Bersambung babak kedua, TFC ll yang kembali menguasai permainan mencipta tiga peluang untuk mencetak gol pertama buat pasukan, malangnya semua percubaan gagal diterjemah ke dalam bentuk jaringan.

Hanya pada minit ke-78, skuad bimbingan jurulatih Badrul Afzan Razali itu berjaya meledak gol kemenangan buat pasukan menerusi pemain gantian Muhammad Safwan Mazlan yang berpunca daripada sepakan percuma oleh Muhammad Syaiful Haqim Shahrul.

Keputusan kekal dengan TFC ll mendahului Kuching City FC hingga akhir perlawanan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.