Sarawak tambah subsidi tenaga, kurangkan sewa premis kerajaan negeri – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 2 Julai : Kerajaan Sarawak mengambil langkah menambah jumlah subsidi tenaga bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terus terbeban ekoran masalah kenaikan kos sara hidup yang berlaku ketika ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain itu kerajaan negeri juga bersetuju untuk menurunkan harga sewaan bangunan milik kerajaan negeri dalam usaha membantu rakyat.

Selanjutnya beliau memberitahu, Sarawak tidak hanya mengambil ‘sikap tunggu dan lihat’ sahaja sehingga krisis gangguan rantaian global yang berlaku ketika ini ‘surut’ sebaliknya turut melaksanakan beberapa tindakan khususnya membabitkan aspek keselamatan makanan.

“Dasar kerajaan negeri ialah meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan kita, iaitu melalui sekuriti makanan.

“Pertanian komersial berasaskan teknologi yang lebih efisien juga akan dapat menstabilkan harga barangan keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sarawak 1st Rover Moot Kebangsaan 2022 di Waterfront Kuching, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, masalah kenaikan harga barang setiap tahun bukanlah isu baharu yang terpaksa ditanggung oleh rakyat negara ini sahaja kerana ia merupakan isu global.

“Kemelesetan ekonomi yang berlaku di negara – negara Barat telah menyebabkan negara kita turut terkena tempias.

“Saya rasa keadaan ini selalunya tidak lama, dalam satu hingga dua tahun, dijangka kembali normal,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.