Sarawak beri peruntukan RM5 juta untuk pembesaran Gurdwara Sahib

Spread the love

KUCHING, 2 Julai : Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM5 juta kepada komuniti Sikh di bandar raya ini bagi proses pembesaran bangunan Gurdwara Sahib, di sini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan itu telah ditambah sebanyak RM1.5 juta daripada peruntukan asalnya kerana kenaikan kos pembinaan bangunan itu ekoran penangguhan yang berlaku ketika penularan wabak COVID-19.

“Pada 2019, saya telah meluluskan sebanyak RM3.5 juta namun kos pembinaan semakin meningkat, jadi saya luluskan kenaikan geran bagi melaksanakan projek ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah pembesaran Gurdwara Sahib di Jalan Masjid di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Abang Johari berkata, gurdwara itu bakal menjadi salah satu tarikan utama kepada pelancong apabila siapnya pengangkutan awam seperti Transit Aliran Automasi (ART) yang sedang dirancang.

Selain itu, Abang Johari berkata, beliau turut akan berusaha sebaik mungkin untuk menggazetkan perayaan Deepavali sebagai cuti umum di negeri ini.

“Satu bahagian juga akan disediakan kepada komuniti Sikh di Muzium Sarawak untuk mempamerkan nilai kebudayaan merupakan memandangkan kita adalah sebuah budaya Borneo,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.