KPDNHEP terima satu aduan peniaga jual ayam melebihi harga siling

Spread the love

GEORGE TOWN, 2 Julai : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setakat ini hanya menerima satu aduan iaitu dari Negeri Sembilan berhubung penjualan ayam standard melebihi harga siling ditetapkan pada RM9.40 sekilogram yang berkuat kuasa 1 Julai 2022.

Baca > > > Harga siling baru ayam RM9.40 mulai 1 Julai

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof berkata pihaknya yakin akan terdapat lagi aduan berhubung peniaga menjual ayam standard melebihi harga siling dan pada masa sama masih menyemak data-data yang diterima hari ini.

“Aduan yang diterima akan disiasat oleh penguat kuasa KPDNHEP di kawasan terlibat terlebih dahulu bagi memastikan ia betul dan seterusnya kami ambil tindakan ke atas peniaga yang didapati menjual harga lebih daripada harga siling ditetapkan,” katanya kepada pemberita  selepas mengadakan Pemeriksaan Fasa II Ops Ayam Telur Minyak (ATM) dan Pemeriksaan Jihad  Tangani Inflasi Bantu Atasi Peningkatan Kos Sara Hidup di Lotus Tanjung Pinang, di sini pada Jumaat.

Baca > > > Harga siling ayam: Situasi menang-menang buat pengguna, penternak

Katanya KPDNHEP tidak berkompromi dengan mana-mana peniaga yang ingkar dengan ketetapan harga siling tersebut kerana mahu melindungi semua pengguna daripada terbeban dengan harga yang mahal berbanding yang sepatutnya dibeli.

“KPDNHEP juga menggerakkan semua pegawai penguat kuasa seramai 2,200 di seluruh negara bagi memastikan bekalan mencukupi dan penternak, pemborong serta peruncit mematuhi harga siling yang ditetapkan di semua peringkat rantaian,” katanya.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Jun lepas mengambil keputusan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia mulai semalam (1 Julai).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan berkata Jemaah Menteri turut bersetuju untuk menetapkan harga siling runcit telur ayam pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, Gred B (0.43 sen/biji) dan gred C (0.41 sen/biji).

Dalam pada itu, Azman berkata KPDNHEP meminta para pengguna menggunakan kuasa yang ada untuk terus  membuat aduan sekiranya mereka menjadi mangsa salah laku peniaga terutama melibatkan caj upah memotong ayam.

Baca > > > Kerajaan ambil kira kepentingan semua pihak sebelum tetapkan harga siling ayam – Alexander Nanta

Katanya pengguna juga dinasihat menggunakan kuasa mereka termasuk membuat perbandingan harga serta membuat pilihan premis yang meletakkan tanda harga jelas dengan menawarkan harga dan perkhidmatan berpatutan.

”Sekiranya peniaga kenakan caj servis yang lebih tinggi hingga menjangkau RM3 atau RM4, pengguna jangan lagi beli ayam pada peniaga tersebut dan beralih membeli di pasar raya kerana lebih murah malah tiada caj upah memotong serta sebagainya.

”Ayam standard ini peniaga perlu jual setiap hari, jadi jika tiada lagi pelanggan yang datang membeli ayam dari peniaga yang kenakan caj servis atau pemotongan mahal, sudah tentu peniaga ini yang terima kesannya kerana pelanggan tidak membelinya. Mereka (peniaga) yang rugi,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.