Sektor kebudayaan jana pendapatan negara RM261.3 juta tahun lepas – Nancy

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 Julai : Sektor kebudayaan telah menjana pendapatan negara sebanyak RM261.3 juta pada tahun lepas dan dijangka prestasi sektor ini dalam menjana pendapatan negara akan lebih baik bagi tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata , justeru dalam memacu prestasi sektor itu, Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN) akan membantu memainkan peranan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Beliau berkata pada tahun ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi perhatian serius dalam memastikan aktiviti seni, budaya serta warisan bangkit semula dan sebanyak RM50 juta telah diperuntuk bagi tujuan pemulihan di bawah Geran Sokongan Sektor Pelancongan dan Kebudayaan (GSSK).

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM25 juta dikhaskan untuk sektor kebudayaan manakala selebihnya untuk sektor pelancongan.

“Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 25 peratus telah digunakan. Sehingga 29 Jun lepas, seramai 81 pemohon telah berjaya dan diluluskan GSSK dengan nilai sebanyak RM12.4 juta termasuk mereka yang menghadiri Bengkel Badan Bukan Kerajaan Peringkat Negeri sebelum ini,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Watikah Lantikan Ahli MAKEN di sini hari ini.

Nancy berkata penubuhan MAKEN, yang merupakan sebuah badan bebas pada Oktober tahun lepas, berperanan memberi khidmat nasihat, pandangan dan cadangan kepada MOTAC serta kerajaan berhubung pembangunan, kemajuan dan pemerkasaan dasar berkaitan hal ehwal seni, budaya serta warisan.

“Majlis ini diwujudkan sebagai platform tertinggi yang melibatkan wakil penggiat seni, budaya dan warisan daripada pelbagai bidang bagi membincangkan isu berkaitan kebudayaan dan kesenian.

“Antara lain, majlis ini berfungsi memberi khidmat nasihat secara perundingan dan perbincangan bersama MOTAC berkenaan kebudayaan termasuk perkembangannya di peringkat antarabangsa, mengemukakan pandangan dalam urusan penambahbaikan berhubung pelaksanaan program kebudayaan yang selari dengan Dasar Kebudayaan Negara serta memberi cadangan dan syor berkenaan idea baharu berhubung hala tuju kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata keahlian MAKEN dipilih atas kapasiti individu dalam kalangan mereka yang dihormati, berpengalaman luas serta banyak menyumbang kepada seni, budaya dan warisan.

Nancy juga berkata MAKEN adalah bagi menggantikan Majlis Penasihat Kebangsaan Berkenaan Kebudayaan yang ditubuh pada 1976 dan berfungsi sehingga 2003.

Antara ahli MAKEN yang dilantik ialah Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa selaku Pengerusi, putera kedua Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Datuk Seri Zain Al-‘Abidin selaku Timbalan Pengerusi selain Presiden Persatuan Wartawan dan Penulisan Seni Hiburan Malaysia Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin serta Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak Dr Regina Garai. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.