Sarawak mahu bangunkan Sibu sebagai ‘kembar’ Amsterdam

Spread the love

SIBU, 1 Julai : Kerajaan negeri merancang untuk membangunkan bandar ini berdasarkan konsep yang dipraktikkan di Amsterdam, Belanda, sekaligus menjadi ‘bandar kembar’ kepada ibu negara Eropah itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan baharu yang dirancang termasuklah untuk menangani kawasan berisiko banjir, Bukit Assek dengan membina terusan air.

Katanya, pada hari ini berlangsung mesyuarat bagi membincangkan penyelesaian masalah banjir di situ.

“Jika ia dilakukan mengikut perancangan, mungkin Sibu akan menjadi seperti Amsterdam yang mempunyai terusan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim di sini malam ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak – Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Pengerusi Emeritus/Penasihat Kehormat AmBank, Tan Sri Azman Hashim.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, perancangan untuk membangunkan Sibu membuktikan kerajaan negeri yang ditadbir oleh Gabungan Parti Sarawak berada di landasan yang betul.

Beliau pada masa sama turut yakin, langkah ‘memodenkan’ Sibu akan menarik lebih banyak pelaburan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Azman Hashim atas sumbangan membina pusat sukan komuniti itu yang terletak di Sibujaya yang akan dapat mencungkil lebih ramai ahli sukan untuk mengharumkan nama negeri.

“Sarawak mempunyai banyak potensi dalam pelaburan sukan.

“Saya percaya dengan kemudahan ini, kita boleh meningkatkan bilangan atlet bukan sahaja bertaraf kebangsaan, malah bertaraf dunia,”katanya.

Abang Johari juga berharap Sarawak boleh muncul juara keseluruhan Sukma Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada September ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.