Replika Kubu Rentap bakal jadi tarikan pelancongan di Betong

Spread the love

KUCHING, 1 Julai : Projek pembinaan replika kubu pahlawan legenda Iban, Rentap dijangka akan menjadi tarikan pelancongan baharu di Betong setelah siap kelak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, replika kubu itu akan dibina di tapak asalnya di Bukit Sadok, Betong.

“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini telah meluluskan peruntukan berjumlah RM16 juta untuk projek itu yang bertujuan untuk meningkatkan sektor pelancongan di Betong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Kelab Saribas di sini, malam tadi.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu.

Berhubung rekaan kubu itu, Douglas Uggah berkata, beliau telah meminta firma arkitek yang terlibat supaya memasukkan elemen reka bentuk rumah panjang tradisional.

Di ruang galeri pelawat pula katanya akan memaparkan tugu Rentap dan beberapa replika lain seperti meriam ‘Bujang Timpang Berang’ serta pelbagai senjata yang digunakan pada zaman dahulu.

Sementara itu, beliau turut berterima kasih kepada Abang Johari kerana telah memperuntukkan RM1.5 bilion kepada Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA) yang dapat memacu pembangunan kawasan itu.

Sementara itu pada majlis yang sama, Douglas Uggah juga mengumumkan pelantikan Dr Richard Rapu, yang juga Setiausaha Politik Premier, sebagai pengerusi baharu Kelab Saribas. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.