Piala AFC: KL City, Kedah Darul Aman lolos ke separuh akhir zon ASEAN

Spread the love

KUALA LUMPUR, 1 Julai : Penyandang Juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur (KL) City FC mengesahkan tempat ke separuh akhir zon ASEAN Piala Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) selepas menewaskan kelab Singapura, Tampines Rovers 2-1, pada aksi terakhir kumpulan H di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.

KL City yang muncul naib juara kumpulan menerusi keputusan itu, ternyata lebih banyak mendominasi perlawanan sebelum membuka jaringan seawal minit ke-15 menerusi jaringan kapten pasukan, Paulo Josue.

Tidak terhenti di situ satu lagi peluang menambah jaringan terhidang, apabila KL City diberikan sepakan percuma yang diambil Josue, namun sepakan deras pemain itu ditepis penjaga gol Muhammad Syazwan Buhari.

Josue bagaimanapun menebus kembali peluang diperolehi sebelum itu, apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-21 buat KL City selesa mendahului 2-0.

Bagaimanapun Tampines Rovers yang dibimbing Gavin Lee, bangkit merapatkan jurang hasil tandukan Boris Kopitovic pada minit ke-37, sebelum babak pertama berakhir dengan kedudukan 2-1.

Disaksikan 1,354 jumlah penonton, kedua-dua pasukan bagaimanapun buntu untuk menambah jaringan gol, sehingga wisel penamat ditiupkan.

“Kami kuasai bola, namun masalah utama kami seperti biasa adalah jaringan gol. Walaupun kami lepas ke pusingan selanjutnya, ia bukanlah suatu yang mudah,” kata Hodak dalam sidang media selepas perlawanan malam ini.

Turut mengikut jejak langkah KL City adalah satu lagi wakil negara, Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas membelasah wakil Kemboja Visakha FC 5-1, pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali.

Visakha FC terlebih dahulu membuka jaringan menerusi jaringan Mohammed Faeez Khan pada minit ke-20, sebelum KDA FC menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mahmoud Al-Mardi selang sembilan minit kemudian.

KDA FC kemudian mengukuhkan kedudukan selepas Mahmoud Al-Mardi menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-45

KDA FC ternyata mempamerkan aksi memukau, apabila menyumbat tiga lagi gol menerusi Mahmoud Al-Mardi pada minit ke-55, Fayadh Zulkifli pada minit ke-67 dan Ronald Ngah Wanja pada minit ke-76 bagi menjadikan keputusan 5-1 hingga wisel penamat ditiupkan.

Keputusan tersebut menyaksikan KDA FC muncul juara Kumpulan G, sekali gus mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN, apabila berkongsi enam mata dengan Visakha FC dan Bali United FC dibezakan dengan kelebihan jaringan gol.

Saingan kumpulan Piala AFC melibatkan KL City dan KDA berlangsung secara liga sepusingan dengan juara kumpulan dan satu naib juara terbaik antara tiga kumpulan Zon ASEAN, akan layak ke peringkat seterusnya. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.