45,879 rakyat berpeluang tebus e-baucar pengangkutan udara

Spread the love

BANGI, 1 Julai : Seramai 45,879 rakyat Malaysia berpeluang menebus e-baucar bernilai RM25 hingga RM100 bagi pembelian tiket penerbangan domestik secara dalam talian sehingga hujung tahun ini.

Melalui peruntukan RM2.7 juta di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PRE 2.0) bagi Kluster Pengangkutan Udara, e-baucar itu ditawarkan oleh lima syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, penjualan tiket penerbangan dijangka meningkat dengan adanya tawaran e-baucar itu.

“Kita hendak lihat bagaimana pemberian e-baucar seperti ini dapat merangsang ekonomi tempatan, selain menjadi penanda aras untuk kita mengenal pasti ia satu daripada cara membantu rakyat. Kita bantu pemain industri dan rakyat supaya mereka dapat tambang lebih rendah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelan pemulihan itu di sini hari ini.

Memperincikan e-baucar berkenaan, Nancy berkata Malaysia Airlines menawarkan baucar bernilai RM100 bagi 10,000 pengguna, Firefly dan Batik Air masing-masing baucar bernilai RM50 kepada 4,000 pengguna, manakala MASwings baucar RM25 kepada 4,000 pengguna dan kesemuanya terhad kepada satu kali penebusan sahaja.

AirAsia pula menyasarkan 23,879 pengguna dengan mereka boleh melakukan penebusan maksimum sebanyak tiga kali bagi tawaran e-baucar bernilai RM50 melibatkan penerbangan sehala atau dua hala, katanya.

PRE 2.0 merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0) yang melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.

Sebelum ini di bawah PRE2.0, ia turut melibatkan pemberian baucar dan rebat di bawah Kluster Pengangkutan Darat, Kluster Persatuan Pelancongan dan Kluster Pelancongan Minat Khas.

Bagi pemberian rebat dan diskaun kluster lain pula, Nancy berkata setakat semalam, sebanyak 15,467 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat melalui pembelian tiket pengangkutan darat dan 12,540 lagi menerusi pembelian pakej pelancongan domestik.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.