106 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Op Gegar, Op Sapu di Melaka

Spread the love

MELAKA, 1 Julai : Jabatan Imigresen Melaka menahan seramai 106 pendatang tanpa izin dalam serbuan Op Gegar dan Op Sapu di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar Melaka dan Jasin, awal pagi pagi.

Pengarah Imigresen negeri Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata dalam operasi bermula pukul 11 malam di dua pusat hiburan itu, sembilan wanita terdiri daripada tujuh warga Vietnam dan dua warga Thailand berumur antara 22 hingga 37 tahun ditahan.

“Wanita warga Vietnam ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

“Sementara dua warga Thailand itu ditahan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anirwan berkata hasil pemeriksaan mendapati kesemua wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan itu mengenakan caj antara RM400 hingga RM900 semalam bergantung kepada pakej perkhidmatan yang ditawarkan.

Dalam serbuan berasingan di kawasan rumah kongsi di tapak pembinaan di Jasin pula, Jabatan Imigresen telah memeriksa seramai 225 warga asing.

Katanya hasil pemeriksaan, seramai 97 individu ditahan membabitkan 62 lelaki warga Bangladesh dan 35 warga Indonesia termasuk empat wanita.

“Ketika serbuan terdapat pendatang yang cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam lori di kawasan pembinaan, namun mereka berjaya ditahan.

“Seramai 81 orang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, manakala 16 orang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa,” katanya.

Operasi tamat pada pukul 4 pagi tadi dan kesemua tahanan diiring kawal ke Pejabat  Imigresen Melaka untuk siasatan lanjut. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.