Wanita berusia 20 tahun maut ditembak di New York

Spread the love

KUCHING, 30 Jun: Seorang wanita berusia 20 tahun yang sedang menolak kereta sorong bayi di jalan New York City maut ditembak di kepala pada Rabu.

Memetik laporan dari Reuters, Jabatan Polis New York berkata bahawa mangsa telah dibawa ke Pusat Hospital Metropolitan, di mana dia meninggal dunia akibat kecederaannya sejam selepas kejadian.

Manakala, anaknya yang berusia tiga bulan pula tidak mengalami sebarang kecederaan, kata pihak polis.

Pada sidang akhbar berhampiran tempat kejadian di bahagian Upper East Manhattan, Datuk Bandar New York, Eric Adams, meminta bantuan masyarakat untuk memberikan maklumat dalam mencari penembak.

“Kami akan mencari orang yang bersalah ke atas jenayah ngeri ini dan akan membawanya ke muka pengadilan,” kata Adams.

Wanita itu ditembak sekali di kepala oleh seorang lelaki bersenjata, berpakaian serba hitam, yang mendekatinya dari belakang.

“Siasatan awal kami mendapati mangsa berusia 20 tahun sedang menolak seorang kanak-kanak berusia kira-kira tiga bulan di dalam kereta sorong bayi di East 95th Street, apabila orang tidak dikenali menghampirinya dan melepaskan satu das tembakan ke kepalanya dari jarak yang sangat dekat.” kata Pesuruhjaya Polis New York City, Keechant Sewell.

“Sejurus selepas tembakan, suspek melarikan diri dari tempat kejadian dengan berjalan kaki menuju ke arah timur di East 95th Street. ” tambahnya.

Pihak polis kata nya sedang dalam proses untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan kejadian dan motif pembunuhan masih belum diketahui.

Tiada suspek ditahan setakat malam Rabu. -TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.